Senarai LAGU RAYA Terbaru + POPULAR 2024



                                                            Beyonce Datang Ke Malaysia




                                                            Sumber: Utusan.com.my


                                                            DI usia 28 tahun, Beyonce memiliki segala-galanya kejelitaan, kemewahan dan kemasyhuran.

                                                            SEJAK kehadirannya bersama bekas kumpulannya, Destiny's Child pada tahun 1997 nama Beyonce Knowles sudah mula mencuri perhatian ramai. Dia bukan sahaja berbakat tetapi juga memiliki paras rupa yang cukup eksotik lantas menjadikannya antara wanita berkulit hitam yang cukup jelita.

                                                            Bersama dengan kumpulannya itu, Destiny's Child telah berupaya mencipta satu fenomena yang cukup luar biasa sekali gus menjadikan mereka penyanyi berkumpulan wanita yang paling berjaya selepas The Supremes.

                                                            Sepanjang bersama kumpulannya itu, mereka telah merakamkan empat buah album studio iaitu Destiny's Child (1998), The Writings On The Wall (1999), Survivor (2001) dan Destiny Fulfilled (2004).

                                                            Menerusi album-album itu, sebanyak 19 buah single telah dihasilkan dan ada yang mencapai status nombor satu dalam carta lagu-lagu popular di Amerika Syarikat dan seantero dunia.

                                                            Antara lagu-lagu popular dendangan mereka ialah Bills, Bills, Bills, Say My Name, Jumpin', Jumpin', Independent Woman Part 1, Survivor, Bootylicious, Emotion, Lose My Breath, Girl dan Cater 2 U.

                                                            Selain itu, mereka juga sempat merakamkan sebuah album Krismas berjudul 8 Days of Christmas, album remix (This Is The Remix) dan sebuah album kompilasi, (#1's).

                                                            Kesemua penjualan album-album mereka itu berjaya mencecah lebih daripada 50 juta salinan di seluruh dunia dan Destiny's Child juga meraih 154 anugerah baik di negara mereka sendiri mahupun dunia.

                                                            Namun, jodoh Beyonce dengan Destiny's Child tidak kekal lama apabila pada tahun 2006, mereka memutuskan mahu membawa haluan dalam mengembangkan lagi kerjaya serta muzik masing-masing.

                                                            Ada juga khabar angin yang bertiup kencang mengatakan semuanya adalah kerana populariti Beyonce yang melangkaui segala-galanya sehingga menenggelamkan dua anggota lain iaitu Michelle Williams dan Kelly Rowland.

                                                            Namun, mereka menafikan perasaan cemburu mula menguliti diri mereka apabila Beyonce yang lebih menonjol dan mendapat perhatian lebih berbanding mereka.

                                                            Begitu juga dengan Beyonce. Bukanlah dia tidak menyayangi kumpulannya itu tetapi tegasnya, dia mahu mengorak langkah sebagai penyanyi solo selain mencuba pelbagai cabang seni lain.

                                                            Buktinya, pada tahun 2003, album solo pertamanya Dangerously In Love telah mencipta kejayaan yang luar biasa apabila mencatatkan penjualan sebanyak 317,000 salinan pada minggu pertama sahaja.

                                                            Memuatkan lagu-lagu popular seperti Crazy In Love, Baby Boy dan Dangerously In Love, album itu menyaksikan kecemerlangan Beyonce apabila memenangi lima anugerah Grammy pada tahun berikutnya.

                                                            Hasilnya, album Dangerously In Love telah berjaya terjual sebanyak 4.2 juta salinan di Amerika Syarikat sahaja.

                                                            Beyonce tidak hanya menyekat kreativitinya sebagai seorang penghibur dan pengkarya tetapi juga menyerlah sebagai seorang pelakon.

                                                            Filem-filemnya seperti Austin Powers in Goldmember, The Fighting Temptations, The Pink Panther, Dreamgirls, Cadillac Records dan Obsessed semuanya mendapat sambutan yang cukup hebat.

                                                            Meneruskan perjuangannya sebagai seorang penyanyi, Beyonce atau nama sebenarnya, Beyonce Giselle Knowles muncul dengan dua album solo selepas Dangerously In Love.

                                                            Dua album tersebut, B'Day dan I Am...Sasha Fierce membuktikan pengaruh Beyonce cukup kuat dan dianggap paling berjaya dalam generasinya.

                                                            Biarpun dia sudah mendirikan rumah tangga dengan rapper terkenal, Jay-Z tetapi itu bukan satu halangan untuk Beyonce terus diminati dan disanjung tinggi.

                                                            Tidak hanya mampu beraksi hebat di atas pentas, tetapi wanita berusia 28 tahun ini cukup bijak merencana kehidupannya.

                                                            Dia bersama ibunya, Tina memulakan perniagaan dengan menubuhkan label fesyen mereka sendiri, House of Dereon pada tahun 2005 yang mendapat perhatian dan sambutan hebat di kalangan peminat Beyonce.

                                                            Profilnya sebagai anak seni dan juga ahli perniagaan telah menjadikan Beyonce sebagai salah seorang artis terkaya di Hollywood dengan pendapatan hampir RM350 juta sepanjang Jun 2008 hingga Jun 2009!

                                                            Begitu juga dengan penangan konsert jelajah dunianya, I Am...World Tour yang dikatakan mampu menjana keuntungan berlipat ganda untuk Beyonce.

                                                            Menyedari aura dan karisma yang dimiliki Beyonce di atas pentas, maka tidak mustahil apabila konsert sulungnya di negara ini, I Am...World Tour Live In Malaysia 2009 mampu memberikan impak yang luar biasa kelak.

                                                            Masakan tidak, pertama kali beraksi di Malaysia, pastinya peluang itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh peminat setia Beyonce yang menantikan peluang ini sejak sekian lama.

                                                            Bakal diadakan pada 25 Oktober ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, ramai pihak yang beranggapan konsert Beyonce ini akan setaraf dengan konsert Michael Jackson pada tahun 1996.

                                                            Khabarnya, tiket-tiket berharga RM93, RM183, RM283, RM383 dan RM583 kini cukup laris bagaikan pisang goreng panas.

                                                            Potongan 10 peratus turut diberikan kepada pelanggan Hotlink dan Maxis bagi mereka yang membeli tiket berharga RM93, RM183 dan RM283.

                                                            Dengan melayari www.beyoncekltour.com.my, anda berpeluang memenangi 50 keping tiket bagi menyaksikan konsert yang ditunggu-tunggu itu menerusi pertandingan yang akan diadakan kelak.

                                                            Sebarang pembelian dan tempahan tiket, boleh hubungi talian 03-7711 5000 atau layari laman web, www.axcess.com.my.

                                                            No comments:

                                                            Post a Comment

                                                            Komen di sini

                                                            Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







                                                            Arkib